Ahad, 13 Mac 2011

Perlanggaran atau pelanggaran


Situasi :
Dalam kehidupan seharian, kita sering mengalami masalah dalam penggunaan bahasa atau kata yang betul. Kita selalu mengalami kekeliruan dalam penggunaan perkataan yang betul terutama perkataan yang ejaannya hampir sama tetapi membawa makna yang berbeza. Sebagai contoh, penggunaan kata perlanggaran dan perlanggaran. Kedua-dua kata ini mempunyai ejaan yang hampir sama tetapi dalam konteks makna, kedua-duanya membawa makna yang berbeza. 

Mengikut Kamus Dewan pada muka surat 759, kata pelanggaran bermaksud perihal melanggar iaitu menyerang,menyerbu dan sebagainya.

Contohnya : Pelanggaran askar Israel terhadap Palestin telah dapat dipatahkan.

Kata perlanggaran pula bermaksud perihal berlanggar iaitu antara kenderaan, kenderaan dengan orang dan lain-lain.

Contohnya : Van itu terlibat dalam perlanggaran dengan sebuah kereta di Ulu Bernam.



JM : Kekeliruan dalam konteks sebenar penggunaan kata  ini akan menyebabkan maklumat tidak dapat disampaikan dengan tepat serta menyebabkan permasalahan dalam komunikasi.

Apabila rebung menjadi rentung


Situasi :

Baru-baru ini, saya pergi ke pekan Tanjong Malim untuk membeli barang. Semasa saya lalu dihadapan KFC, saya ternampak seorang wanita dalam keadaan gelisah berada di hadapan telefon awam. Saya memberhentikan motorsikal dan bertanya kepada wanita tersebut :

Saya : Kenapa ni makcik. Ada apa-apa yang saya boleh tolong?
Makcik : Makcik dah berpesan kepada anak makcik supaya mengambil makcik di sini pukul 11. Tapi samapai sekarang dia tidak sampai-sampai. Makcik nak menelefon dia tetapi telefon awam ni sudah rosak pula.
Saya : Tidak mengapalah makcik.Makcik telefonlah anak makcik menggunakan telefon bimbit saya ni.
Makcik : Terima kasih.

Perbuatan merosakkan telefon awam ini merupaka salah satu contoh vandalisme. Gejala vandalisme atau merosakkan harta benda awam telah menjadi masalah terutama dalam kalangan remaja sejak sekian lama dan semakin sukar dibendung. Perbuatan ini akan menyusahkan masyarakat dan mendedahkan kelemahan modal insan dalam diri individu.



JM : Jika sikap dan masalah ini tidak dibanteras, sudah tentu akan menjadi penyakit dalam masyarakat. Dari aspek sikap, remaja ini akan cenderung menjadi lebih ganas apabila telah menjangkau usia dewasa dan menjadi semakin panas baran. Dalam peringkat yang lebih luas lagi, negara akan terjejas dengan masalah yang semakin parah ini. Generasi remaja bakal pemuda harapan bangsa dan menjadi tiang negara. Andai harapan sudah pun punah, jika tiang pun sudah tumbang, siapa yang akan kita sandarkan untuk memimpin negara kelak.

Merungkai Hikmah

Hari-hari yang kini membutir
melungsuri kalendar adalah
mutiara
adalah dahulu serpih mimpi
dieram sabar.

Syair yang dahulu berjela
menyawangi dada adalah
doa
adalah kini benang kental
berpilin reda.
Engkau yang mengutip cicir
nasib adalah penguntai
hikmah
adalah hamba terpilih
diperkalungi kasih-Nya.

Penangan Futsal

Situasi :

Saya telah memasuki kejohanan Futsal Terbuka Zaaba yang berlangsung dari 21-24 Januari 2011 di Gelanggang Futsal kolej Zaaba. Kejohanan ini mendapat sambutan yang menggalakkan apabila sebanyak 40 pasukan telah mengambil bahagian. Walaubagaimanapun, kemeriahan kejohanan futsal ini tercemar apabila terdapat dua buah pasukan yang bergaduh. Saya namakan pasukan A dan pasukan B.

Pergaduhan ini tercetus apabila seorang pemain pasukan A membentes pemain pasukan lawan sehingga mengalami kecederaan. Pasukan lawan tidak berpuas hati, lalu berlakulah pergaduhan. Akibat terlalu marah, pelbagai kata-kata kesat dihamburkan oleh kedua-dua pasukan. Saya yang sedang menyaksikan perlawanan itu tergamam melihat insiden yang berlaku.Mujur, tindakan pantas daripada pengadil dan penonton berjaya meleraikan pergaduhan tersebut.





JM : Sukan futsal ini sepatutnya bermatlamat untuk mengeratkan silaturrahim sesama peserta selain bergiat aktif dalam bidang ko-kurikulum. Selain itu, melalui sukan futsal ini dapat mencungkil bakat-bakat baru yang mungkin boleh menjulang negara satu hari nanti. Insiden ini tidak patut berlaku kerana sama sekali mencemarkan imej bakal-bakal guru yang akan mendidik anak bangsa Dalam konteks yang lebih luas, insiden ini menunjukkan betapa ceteknya pemikirannya mereka yang terlibat dalam insiden tersebut kerana penyelesaian masalah yang dilakukan adalah tidak wajar. Bak kata pepatah, ikut kata binasa, ikut hati mati...~~

Sabtu, 12 Mac 2011

Karenah atau kerenah

Saya tertarik dengan penggunaan kata karenah dan kerenah yang mempunyai sebutan yang hamper sama tetapi makna yang berbeza. Apabila Kedua-dua kata tersebut dirujuk dalam Kamus Dewan, terdapat perbezaan dari segi makna dan asal kata.

Kata karenah ditandakan dengan singkatan “Ar”, yang membawa maksud kata tersebut merupakan kata serapan daripada bahasa Arab, manakala untuk kata kerenah, kata tersebut tidak ditandakan dengan sebarang tanda. Hal ini bermakna kata tersebut dianggap sebagai kata Melayu (bukan serapan).
Dari segi maknanya pula: makna dalam Kamus Dewan
karenah (karénah) : Ar alamat, bukti, tanda.
kerenah (kerénah) : ragam, tingkah laku, kemahuan.


Dengan hal yang sedemikian, jelaslah kedua-dua kata tersebut berbeza dari segi maknanya.

Jumaat, 11 Mac 2011

Dodoi Anak




Masyarakat Melayu sememangnya dikenali sebagai bangsa yang kaya dengan adat resam dan budaya. Selain daripada pantun, seloka, sajak atau syair, masyarakat Melayu dahulu juga pandai meluahkan rasa kasih sayang kepada anak-anak mereka dalam bentuk lagu. Lagu dicipta dalam bentuk puisi dan dinyanyikan dengan tujuan mengulit anak (maksud, mengulit – lagu yang didendangkan untuk menidurkan anak).

Dodoi pula bermaksud lagu yang dinyanyikan untuk menghiburkan dan menidurkan bayi supaya cepat terlena. Lagu ini dicipta dan dinyanyikan secara spontan mengikut emosi dan imaginasi ibu atau bapa. Oleh itu kata-kata dipilih dan disusun supaya menjadi puisi yang indah dan menarik serta mengandungi nilai-nilai moral atau seni kata yang sesuai dengan bayi.

Puisi ini akan dinyanyikan dengan gaya, nada dan ritma yang merdu. Puisi yang pendek dan padat akan menjadikan nyanyian dodoi itu indah, merdu dan sedap didengar bukan sahaja dari segi iramanya tetapi juga puitisnya.
Salah satu dodoi anak yang popular – Dodoi Suriram.

Seni kata Dodoi Suriram

Suriram, suriram ram ram
Suriram yang manis
Aduhai anakku sayang
Suriram jantung hatiku
Tinggilah tinggi siMatahari
Suriram
Anak kerbau mati tertambat
Suriram
Sudahlah lama ibu mencari, sayang
Baru sekarang ibu mendapat
Suriram, suriram ram ram
Suriram yang manis
Aduhai anakku sayang
Suriram jantung hatiku
Suriram, suriram ram ram
Suriram yang manis
Aduhai anakku sayang
Suriram jantung hatiku

JM :Teringat zaman kanak-kanak dahulu. Banyak kenangan pahit dan manis.

Rabu, 9 Mac 2011

Barisan kita..

Tarikh : 21 Januari 2011
Hari : Jumaat


Inilah barisan kita
Yang ikhlas berjuang
Siap sedia berkorban
Untuk ibu pertiwi

Sebelum kita berjaya
Jangan harap kami pulang
Inilah sumpah pendekar kita
Menuju medan bakti

Andai kata kami gugur semua
Taburlah bunga di atas pusara
Kami mohon doa
Malaysia Berjaya..

Semboyan telah berbunyi
Menuju medan bakti

Lagu ini seringkali kita dengari apabila memperingati para parajurit negara yang telah terkorban demi menjaga dan mempertahankan keamanan negara. Kini, lagu patriotik ini telah semakin berkembang apabila dinyanyikan dalam pelbagaiacara kenegaraan termasuklah dalam pertandingan sukan. Sukan bola sepak, badminton, hoki dan lain-lain juga telah sebati dengan lagu ini. Lagu ini mampu merangsang semangat patriotik yang tinggi kepada semua anak Malaysia supaya berjuang dan mengharumkan nama negara sehingga titisan keringat yang terakhir.





JM : Meremang bulu roma menyanyikan lagu ini di stadium. Rasa berkobar-kobar dan mengukuhkan lagi rasa patriotik kepada negara. Malaysia tanah tumpah darahku.