Selasa, 15 Mac 2011

Sampah yang bersepah...


Sampah sering dikaitkan dengan benda yang buruk, jijik, kotor dan yang seumpama dengannya. Contoh kata kerja atau kata nama termudah seperti sampah masyarakat, menyampah, bakul sampah dan lain-lain, semuanya negatif.

Begitulah juga saya sendiri yang memang cukup sakit mata melihat sampah, tapi yang lebih sakit hati lagi bila melihat orang membuang sampah di tempat-tempat awam dan di tepi jalan secara sesuka hati tanpa rasa perasaan bersalah.

Pengalaman saya sendiri menceritakan segala-galanya. Pernah berlaku satu insiden di luar ‘Central Market’ Kuala Lumpur pada tahun lepas. Kejadian sebenar ini berlaku sewaktu saya seorang diri pergi ke bandaraya Kuala Lumpur atas urusan peribadi. Kebetulan memang ada sampah yang bertaburan dalam kuantiti yang minima tetapi sudah cukup menyakitkan mata sesiapa yang melihatnya.

Semasa menunggu bas mini yang tak kunjung tiba pada masa tu,  beberapa orang anak muda turut melepak di situ sambil melayan dunia masing-masing. Agak lama sampah itu terbiar tanpa sesiapa pun peduli, hinggalah akhirnya datang seorang mat saleh pergi mengutip sampah-sampah itu dan memasukkannya ke tong sampah berdekatan.
Terdiam sejenak hilai tawa anak-anak muda yang tadi riuh rendah dengan cerita dunianya. Mungkin malu agaknya. Sebagai rakyat Malaysia amnya dan Melayu khususnya yang dikatakan terkenal tinggi budi bahasanya, apatah lagi Islam juga menekankan pentingnya menjaga kebersihan, tetapi masih boleh berasa tidak bersalah melihat sampah-sarap itu terbiar sedangkan ada tempat khasnya yang dinamakan tong sampah.

Berlaku adillah dengan sampah, maka kita juga akan berlaku adil dengan alam sekitar dan kewujudan lain di sekeliling kita. Mesejnya mudah saja, sambil berukhwah akan menanamkan kembali semangat suka akan gotong royong atau kerja-kerja sukarela/tanpa gaji atau dengan nama lain kerja amal kerana Allah di hati masyarakat.  Nilai ini semakin pupus dari sehari ke sehari tetapi jangan dibiarkan pupus seperti pupusnya ‘dinasour’ kerana ini adalah resam budaya hidup kita yang amat positif dan perlu dipertahankan.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan