Isnin, 28 Februari 2011

Indahnya budi kerana bahasa

Masyarakat Melayu begitu menghargai dan menjunjung tinggi budi. Mereka menilai segala sesuatu itu berdasarkan pada budi. Buktinya, kecantikan seseorang bukan dinilai pada paras rupanya tetapi dinilai pada budi bahasanya.

Manusia akan dipandang hina jika tidak berbudi, dan satu-satu bangsa itu pula akan runtuh jika budinya runtuh. Hal ini tergambar dalam pantun Melayu lama :

Bunga melati bunga di darat,
Bunga seroja di tepi kali;
Hina besi kerana karat,
Hina manusia tidak berbudi.

Apa guna berkain batik,
Kalau tidak dengan sujinya;
Apa guna beristeri cantik,
Kalau tidak dengan budinya.

Berbudi bahasa ialah gambaran pancaran hati jernih yang diungkapkan secara baik dan mesra serta memberikan kesan baik pula kepada orang lain. Dengan berbudi bahasa, silaturahim dapat dijalin, rasa mahabbah (kasih sayang) dapat dipupuk, dan sifat persaudaraan dapat disuburkan.

Dengan itu situasi ini dapat dijadikan asas yang baik dalam proses pembinaan masyarakat beradab dan akhirnya menjadi masyarakat yang bertamadun. Asas budi bahasa sebenarnya merupakan asas ajaran agama.
Berbudi bahasa bukanlah menggambarkan sifat lemah sesuatu bangsa atau umat bahkan tidak menggambarkan jiwa rendah diri seseorang, tetapi menggambarkan kekuatan peribadinya.

Sayangnya, budi bahasa dan nilai-nilai murni sudah semakin terhakis dalam diri anggota masyarakat negara kita. Hal ini dapat dilihat dengan jelas di persekitaran kita, misalnya perbuatan vandalisme yang menjadi-jadi. Lebih parah masalah sikap tidak berbudi bahasa sesetengah pengguna jalan raya hingga boleh membawa padah dan menyebabkan kematian. Jadi, bagi saya setiap pihak perlu berganding bahu menerapkan nilai-nilai budi bahasa dalam diri dalam usaha melahirkan masyarakat yang berjaya di dunia dan akhirat.
JM : Masyarakat yang maju bermula daripada individu yang cemerlang

Selasa, 22 Februari 2011

Kosa kata



Siapa kata kosa kata meluas tidak meluas?. Apabila saya merujuk kamus dewan, saya menjumpai pelbagai kosa kata baru yang tidak pernah digunakan sebelum ini. Di sini saya ingin berkongsi kosa kata baru bersama-sama dengan contoh ayatnya sekali.

Ayat 1 – dukuh.
Dusun tempat dia tinggal tidak ada langsung kemudahan telefon.
Dukuh tempat dia tinggal tidak ada langsung kemudahan telefon (dukuh: kampung kecil yang terpencil, dusun).

Ayat 2 – faharasat.
Setiap pelanggan kedai itu dibekalkan dengan senarai barangan yang dijual.
Setiap pelanggan kedai itu dibekalkan dengan faharasat barangan yang dijual (faharasat: senarai (daftar), katalog).

Ayat 3 – gharib.
Penemuan hasil kajian ahli sains muda itu agak ganjil dan baharu dalam dunia sains.
Penemuan hasil kajian ahli sains muda itu agak gharib dan baharu dalam dunia sains (gharib: aneh, asing, jarang-jarang ditemukan atau diperolehi, ganjil).
Ayat 4 – jatah.
Kemasukan pelajar luar negara di kolej itu tidak memenuhi kuota yang ditetapkan.
Kemasukan pelajar luar negara di kolej itu tidak memenuhi jatah yang ditetapkan (jatah: kuota atau jumlah had tertentu bagi tujuan tertentu).

JM : Boleh digunakan dalam percakapan seharian..

Ahad, 20 Februari 2011

Macam-Macam Hal


Tarikh : 17 Januari 2011          
Hari : isnin

Pagi itu, saya telah menelefon seorang staf PTPM berkaitan peralatan teknikal untuk program  sosiolinguistik yang akan diadakan di Dewan Sri Tanjung, UPSI pada 21 Januari 2011. Saya telah memohon peralatan seperti mikrofon, LCD dan lain- lain. Walaubagaimanapun, layanan yang diberikan oleh staff itu sangat mengecewakan. Beliau seolah-olah bersikap sambil lewa. Saya bertanya tentang peralatan yang inigin digunakan untuk seminar itu sama ada sudah disediakan atau belum, tetapi reaksi yang diberikan agak mendukacitakan. Perbualan antara kami :

Saya : En, saya nak tanya tentang peralatan yang inigin dipinjam untuk program pada hari jumaat ni, dah disediakan atau belum?
Staf : engkau tak payah risau la, kau boleh tidur nyenyak malam ni
Saya agak tersentap mendengar jawapan balas daripada staf tersebut kerana bagi saya jawapan yang diberikannya agak kasar.





JM : Bagi saya, perkara ini tidak sepatutnya terjadi kerana sebagai seorang kakitangan PTPM, beliau sepatutnya bersikap profesional dalam bidang tugasnya. Apabila seorang bertanya dengan sopan, kita juga perlu menjawab dengan sopan kerana bangsa melayu sentiasa mengajar kita bersopan dalam berbahasa. Secara tidak langsung, perkara yang terjadi ini telah menjejaskan imej PTPM dalam di mata mahasiswa UPSI.